Y.B. Dato’ Jahara binti
Hamid (D.S.P.N., P.J.K.)
N.06 TELOK AYER TAWAR
Beliau dilahirkan pada 18hb Mei 1951 di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Butterworth dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Perai dan di Sekolah Menengah Convent Butterworth. Selepas itu beliau belajar di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam di Tingkatan 6. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Ilmu Khas pada tahun 1971/72 dan mendapat Sijil Perguruan Menengah. Selepas itu beliau memasuki Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Sarjana Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1979. Beliau mengikuti suami Encik Md. Radzi bin Zainal Abidin untuk mengikuti bidang guaman pada 1980 dan memperolehi LLB (Hons) dari Universiti of Buckingham, England dan selepas itu mendapat Sijil Professional Barrister-At-Law dari Lincoln’s Inn, London. Beliau terus kembali dan selepas membuat latihan praktikal, beliau memulakan firma guaman sendiri bersama suami pada tahun 1985.
Beliau mula bergiat dalam politik
sejak 1983 dan menyertai Kelab UMNO London dan menjadi wakil wanita pertama ke
Perhimpunan Agung Wanita UMNO pada tahun 1983. Sejak kembali ke tanah air pada
1986 memegang jawatan Ketua Wanita Cawangan Teluk Air Tawar hingga sekarang.
Beliau pernah menjadi Setiausaha Wanita UMNO Bahagian Tasek Gelugor dari tahun
1985 hingga 1988 dan Ketua Wanita Bahagian Tasek Gelugor dari 2000 hingga
sekarang. Beliau pernah dilantik sebagai
Ketua Wanita UMNO Negeri pada 2004-2008 dan AJK Wanita UMNO Malaysia
pada masa yang sama.
Di samping jawatan-jawatan politik,
beliau juga menjadi Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai selama 4 tahun dari
tahun 1992 hingga tahun 1995 apabila beliau meletak jawatan untuk bertanding
sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Telok Ayer Tawar dan
telah memegang jawatan tersebut selama 5 penggal hingga sekarang.
Beliau juga adalah Pengerusi Majlis
Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2004 hingga
sekarang. Selain dari itu, beliau juga menjadi Ahli Majlis Agama Islam Negeri
Pulau Pinang dari tahun 2000 hingga tahun 2008.
Antara jawatan-jawatan lain yang
disandang ialah sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun
2000 hingga 2008, Yang Di-Pertua Seni Silat Lincah Negeri Pulau Pinang pada
tahun 2004 hingga 2009, Yang Di-Pertua, Persatuan Saudara Islam (PERSALAM) dari
tahun 2009 hingga 2013, Pengerusi Koperasi Dayanita Tasek Gelugor dari tahun
2010 hingga sekarang, Timbalan Pengerusi Yayasan Wanita Malaysia dari tahun
2012 hingga sekarang.
Beliau telah dikurniakan darjah
kebesaran Pingat Jasa Kebaktian (PJK) Pulau Pinang pada tahun 1988 dan Darjah
Setia Pangkuan Negeri (DSPN) pada tahun 2009.